AL-QADR ertinya keagungan atau kemuliaan kerana surah ini mempunyai banyak kelebihan serta di dalamnya memuat penjelasan mengenai suatu malam yang diturunkan kitab suci al-Quran ke langit dunia atau Lauhil Mahfudh hingga dengan membaca seluruh isi surah ini seseorang akan mendapatkan bagaimana hebatnya kemuliaan dan keagungannya. Bacaan surah Al-Qadr membawa maksud: Bahawasanya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah sebenarnya malam yang mulia) lebih baik daripada (perbandingannya dengan malam lain) seribu bulan, (kerana) pada malam itu turun malaikat termasuk (pimpinan mereka) malaikat Jibril dengan izin Allah untuk menetapkan pengaturan segala urusan, malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar (masuknya waktu sembahyang Subuh) (Al-Qadr: 1-5).Suatu ketika Al-Faqih al-Imam al-Walily al-Kabir Ahmad Ibn Ujail didatangi seorang fakir. Disampaikannya kisah kefakirannya itu kepada al-Faqih, lalu beliau diperintahkan membaca sebanyak mungkin surah al-Qadr dan selesai membacanya, digalakkan berdoa yang membawa erti: Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Ya Allah rahmati dan selamatkanlah penghulu kami Rasulullah, keluarga, para sahabatnya sekalian. Ya Allah, wahai Dia yang memadai daripada sekalian makhluk-Nya, tetapi tiada seorang pun yang tidak memerlukan-Nya di kalangan semua makhluk-Nya.Wahai yang Esa,tiada bandingannya, putuslah harapan tanpa harapan daripada-Mu, hilang cita-cita melahirkan kepada-Mu dan amat sukar perjalanan kecuali menuju Engkau. Wahai penolong orang yang meminta tolong, tolonglah aku ( tujuh kali).Dan siapa berhajat kepada Allah maka bacalah surah Al-Qadr (141 kali) lalu membaca doa itu (tujuh kali) kemudian memohon keperluannya.Sesiapa membaca surah Al-Qadr (1,000 kali) pada hari Jumaat maka ia tidak meninggal sebelum melihat Rasulullah dalam tidurnya.Sesiapa membaca surah Al-Qadr (10 kali) dan surah Al-Ikhlas (10 kali) pada air lalu dipercikkan pada pakaian baru, maka ia selalu berada dalam penghidupan yang lapang ketika masih dipakainya pakaian itu. Dari Rasulullah, baginda bersabda: Sesiapa mengambil tanah kubur saat penguburan mayat lalu membaca surah Al-Qadr (tujuh kali) dan tanah itu diletak bersama mayat pada kain kafan atau liang kuburnya maka si mayat itu tidak akan diseksa dalam kuburnya. Sesiapa membaca surah Al-Qadr ketika keluar maka ia akan kembali dengan selamat. Sesiapa membaca surah Al-Qadr (10 kali) maka dihapuskan seribu dosanya. Sesiapa membaca surah al-Qadr (tiga kali) sehabis sembahyang Maghrib dan Subuh sebelum berganjak lalu berdoa maka dibangun antara dia dan iblis sebuah benteng seperti benteng pembendung Yajuj dan Majuj. Demikian dalam ad-Durri an-Nazhim.Barang siapa membaca surah Al-Fatihah (tujuh kali), surah Muawwidzatain (tujuh kali), surah Al-Ikhlas (tujuh kali) ayat Kursi (tujuh kali) dan surah al-Qadr (tujuh kali) lalu mengadap kiblat dan memohon kepada Allah apa yang diperlukannya, maka Allah mengabulkan doanya, Insya-Allah.